Tuesday, March 16, 2010

Kehidupan...

Entah mengapa ku luahkan di pagi hari ini tentang kehidupan....

Kehidupan bermula seseorang itu lahir ke muka bumi ini sehinggalah hembusan nafas terakhir. Kehidupan ini seperti roda, ada masanya kita berada di atas dan ada masanya kita berada di bawah. Berbekalkan semangat dan ketabahan kita meneruskan kehidupan di muka bumi ini sama ada susah atau senang. Kehidupan ini tidak menjanjikan kebahagiaan. Berkat usaha dan kesabaran kita akan mencapai kejayaan. Namun, tak semua yang kita usahakan, kita akan memperoleh segala impian kita. Ada masanya, semakin kita berusaha semakin dekat kegagalan yang datang menghampiri. Itulah hakikat kehidupan yang perlu kita terima, qada dan qadar yang telah ditetapkan. Sebagai manusia, kita harus sabar menghadapi ujian hidup ini.
Segala apa yang kita lakukan di dunia ini perlu disertakan dengan keikhlasan. Jangan kita harapkan sebarang ganjaran dan pujian, kerana tidak semua manusia tahu menghargai. Jarang manusia menghargai apa yang mereka ada dan yang mereka terima. Sudah menjadi adat kesilapan sebesar zarah, itulah yang mereka nampak dan sering perkatakan. Begitulah kehidupan, langit tak selalunya cerah, ada masanya mendung dan kemudian hujan datang menimpa. Jadi perlulah kita sediakan payung sebelum hujan. Kita perlu bersedia sentiasa dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
Kehidupan ini penuh ranjau dan duri. Berbekalkan semangat, azam dan usaha yang gigih kita akan terus melalui denai-denai kehidupan ini. Ada masanya kita merasakan kehidupan ini terlalu indah. Ada masanya kita merasakan kita bersendiri menjalani kehidupan ini walaupun kita berada di tengah kesibukan kota. Itulah warna-warni kehidupan. Pengalaman mengajar kita erti kehidupan, menjadikan kita semakin matang dan bijak membuat keputusan.
Kesimpulannya, gembira atau tidak, suka atau tidak, kita perlu meneruskan hidup ini. Suka, duka adalah permainan kehidupan dan kita tidak dapat lari dari merasainya. Carilah kegembiraan dan carilah kebahagiaan. Teruskan perjalanan hidup ini bersama semangat dan keazaman. Tanyalah diri apa yang kita inginkan kerana hati tidak pernah menipu dan di situ kita akan bertemu jawapannya.

3 comments:

Unknown said...

live its not fair but it still good for us to be a great khalifah. :)

Unknown said...

:'(

Pupuk Jagung Manis said...

nice post, gan. dalem banget tulisannya